Program Bantuan Kesihatan atau Alkhair Health Programme (AHP) adalah sebuah inisiatif kebajikan yang dijalankan di bawah naungan Alkhair Malaysia.
Tujuan utama AHP adalah untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan juga berkesan dalam kalangan masyarakat yang memerlukan. Sudah pasti fokus kami adalah kepada golongan yang kurang berkemampuan.
Sebagai sebuah program kebajikan, AHP berusaha untuk membantu menyelesaikan isu-isu berkaitan kesihatan masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan yang bersifat inklusif dan menyeluruh. Ini melibatkan usaha untuk meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat sambil menyediakan akses kepada perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma.
Dalam konteks geografi Malaysia, AHP berfungsi sebagai entiti yang membawa perubahan positif dalam sistem kesihatan negara. Dengan mengakses dan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, AHP berharap dapat menyokong golongan yang memerlukan, khususnya mereka yang mungkin terpinggir atau kurang berkemampuan.
Adina Alkhair adalah salah satu program yang dirangka di bawah AHP bagi membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit kanser.
Adina Alkhair merupakan sebuah projek usahasama antara Alkhair Malaysia dan NGO Pertubuhan Kebajikan Adina. Adina Alkhair aktif turun ke lapangan hampir setiap bulan bagi membantu pesakit kanser dalam kalangan kanak-kanak.
Kita sedia maklum, tidak sedikit komitmen kewangan yang diperlukan oleh seorang pejuang kanser. Atas sebab itu, AHP melalui Adina Alkhair konsisten memberi bantuan kepada keluarga kanak-kanak pesakit kanser.
Selain bantuan kewangan, Alkhair Malaysia juga cuba meringankan beban mereka melalui pemberian bantuan seperti lampin pakaian buang, susu formula dan keperluan asas yang lain.
Beberapa program dan aktiviti juga telah dilaksanakan bagi memberi sokongan dan menceriakan anak-anak yang sedang diuji dengan penyakit berbahaya seawal usia. Selain agihan sumbangan, pertemuan seperti ini juga membolehkan Alkhair Malaysia berukhwah, mengenali lebih dekat serta mengetahui khabar terkini penerima bantuan.
2.2 juta kanak-kanak Yaman yang berusia di bawah 5 tahun menderita malnutrisi. Konflik dan peperangan negara yang tercetus pada tahun 2015 membuatkan kehidupan rakyat Yaman porak peranda dan ekonomi negara itu menjunam teruk.
Kesannya, rakyat negara itu hidup penuh kemiskinan. Miskin sehingga tak mampu membeli makanan.
Ibu-ibu mengandung dan menyusukan sepatutnya mendapat zat serta nutrisi secukupnya demi tumbesaran anaknya. Tapi keadaan itu tidak berlaku di Yaman.
Bayi dilahirkan dan membesar dalam keadaan kesihatan yang tidak baik. Bahkan ramai yang keguguran. Realiti kehidupan di Yaman sangat perit.
Selain Yaman, rakyat Palestin, Syria dan pelarian Rohingya juga antara mereka yang memerlukan perhatian dalam isu malnutrisi ini. Peperangan dan penindasan membuatkan mereka hidup hanya sekadar hidup dan makan hanya sekadar makan tanpa memikirkan nutrisi mahupun zat.
Di bawah Alkhair Health Programme (AHP), Alkhair Malaysia cuba menangani isu ini dengan membantu mereka menerusi program makanan sihat, kos rawatan, ubatan, pemakanan tambahan dan banyak lagi.
Tidak terhad kepada mereka yang berada di luar negara, AHP turut menabur bakti kepada seramai mungkin masyarakat Malaysia yang memerlukan.
Diuji dengan ujian kesihatan bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak kos tambahan yang diperlukan bagi memastikan keadaan kesihatan seseorang itu berada dalam keadaan baik. Dalam masa yang sama, ia juga perlukan pengorbanan masa yang lebih.
Bayangkan, jika seseorang itu sebelum ini hidupnya cuma sekadar cukup-cukup sahaja setiap bulan. Kemudian ditimpa dengan musibah kesihatan sama ada dia atau salah seorang ahli keluarganya. Pastinya keadaan ini sangat menyesakkan hidup mereka.
Alkhair Malaysia memahami situasi dan keadaan mereka. Sebab itu Alkhair Malaysia rasa bertanggungjawab untuk membantu meringankan beban mereka yang sedang kesedihan. Di sini AHP berperanan memberi sokongan dan membantu mereka berkenaan isu-isu kesihatan serta rawatan.
Alkhair Malaysia tidak mahu mereka rasa keseorangan. Kami juga mahu mereka yang sakit itu tidak ditinggalkan begitu sahaja. Bahkan diberi peluang, rawatan dan sokongan sehingga sembuh. Kami yakin, setiap usaha yang kita berikan takkan sia-sia. Namun, Allah jualah sebaik-baik penyembuh.
وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ
“Dan apabila aku sakit, Dialah Yang menyembuhkan aku.” (Asy-Syu’ara, 80)
Pertubuhan Alkhair Malaysia
(PPM-009-07-04012024)
No. 29, Jalan Dagangan 15,
Pusat Bandar Bertam Perdana,
13200 Kepala Batas, Pulau Pinang.
Web Design oleh therichweb.com